Rabu, 14 September 2016

Sistem sijil terbuka SPM disambut baik

ARKIB : 08/08/1998
KUALA LUMPUR 7 Ogos - Tokoh akademik, kesatuan guru dan persatuan ibu bapa menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan sistem sijil terbuka Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mereka menyifatkan langkah itu wajar dan bijak kerana memberi lebih peluang yang lebih luas kepada pelajar dalam merancang masa depan.

Malah, mereka juga bersetuju dengan pandangan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan sistem agregat yang diamalkan pada masa kini tidak lagi relevan dengan perkembangan pendidikan negara.

Tokoh akademik, Tan Sri Dr. Awang Had Salleh berkata, pelaksanaan sistem itu akan memberi lebih banyak peluang kepada pelajar memilih pelajaran yang diminati.

''Pelajar boleh menentukan masa depan mereka dan menilai kemampuan diri mereka,'' katanya ketika mengulas kenyataan Menteri Pendidikan semalam yang mahu memperkenalkan sistem sijil terbuka SPM menggantikan sistem pemberian agregat dalam tempoh dua tahun lagi.

Dr. Awang Had memberitahu, sudah tiba masanya beberapa reformasi dalam bidang pendidikan dibuat dalam usaha menjadikan sistem pendidikan di negara ini lebih fleksibel dan tidak membebankan pelajar.

Kenyataan beliau turut disokong oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Murad Mohd. Noor yang berpendapat cadangan itu dapat membantu mengatasi masalah bebanan kurikulum di kalangan pelajar yang kurang cemerlang.

''Tidak dinafikan sistem yang ada sekarang terlalu ketat dan ini boleh menyekat peluang seseorang pelajar itu untuk mempelajari lebih banyak mata pelajaran.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-guru Sarawak, William Ghani Bina pula menyifatkan cadangan tersebut sebagai bersesuaian dengan sistem pendidikan negara dalam menghadapi alaf akan datang.

Menurutnya, sistem terbuka itu telah dipraktikkan secara meluas di negara-negara Barat dan ia diterima sebagai satu sistem yang berkesan untuk melahirkan pelajar yang berkualiti.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_07.htm#ixzz4KElxdlDQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan