Rabu, 25 Julai 2018

Che Liyana kebanggaan warga Maran

ARKIB : 25/03/2013

MARAN 24 Mac - Kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 2, Che Liyana ‘Izzati Che Rozali mencipta nama sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 Peringkat Kebangsaan kini menjadi kebanggaan penduduk daerah ini.

Che Liyana ‘Izzati, 20, memperoleh A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Geografi, Sejarah, Kesusasteraan Melayu dengan perolehan nilai gred 4.0.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, pencapaian cemerlang itu membuktikan kejayaan boleh diraih pelajar di luar bandar selagi ada kemahuan dan usaha.

Katanya, Che Liyana yang merupakan anak guru dari Felda Jengka 3 dan cucu peneroka Felda boleh dijadikan idola kepada calon-calon STPM tahun ini di Pahang khususnya di daerah Maran.

“SMK Jengka 2 tempat Che Liyana Izzati belajar terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentol. Saya turut berbangga di atas kejayaan itu," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan sumbangan pribadi dan buku kepada pelajar tersebut di SMK Jengka 2, di sini semalam.

Menurutnya, calon lain di daerah Maran yang mendapat 5A ialah pelajar SMK Jengka Pusat, Norhayati Abu Bakar dan Nurul Iffah Athirah Ismail serta pelajar SMK Maran, Muhammad Alif Darwanis dan Nurul Hidayah Mohd. Azman.

Sementara itu, Che Liyana Izzati berkata, dia memberi sepenuh tumpuan di dalam kelas di samping membuat banyak latihan selepas waktu belajar.

Menurutnya, kejayaan yang diraih itu mahu dikongsi bersama ibu sebagai pendorong utama, guru-guru dan rakan-rakan yang banyak membantu.

Ditanya tentang kerjaya pula, beliau mengakui lebih berminat kepada bidang perguruan seperti ibunya, Rohana Mat Ripin, 44, dan arwah ayah, Che Rozali Che Mat yang meninggal dunia pada 2006 ketika berusia 43 tahun.

“Hati saya agak sayu kerana kejayaan manis ini tidak dapat dikongsi bersama ayah yang meninggal dunia ketika saya berusia 13 tahun," katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130325/wp_04/Che-Liyana-kebanggaan-warga-Maran#ixzz5MGRWgzjb
© Utusan Melayu (M) Bhd