Rabu, 14 September 2016

Sijil terbuka SPM jangan ambil kurang lima kertas

ARKIB : 13/08/1998
Ini kerana universiti itu menetapkan lima kertas terbaik SPM untuk mengikuti sebarang kursus yang dipohon.

Di bawah sistem terbuka itu, seperti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, pelajar boleh mengambil tiga atau empat kertas sahaja.

Naib Canselor UPM, Tan Sri Prof. Dr. Syed Jalaluddin Syed Salim, berkata dalam konteks UPM, universiti itu selama ini memang menekankan lima kertas terbaik SPM, bukannya berdasarkan pangkat satu, dua atau tiga.

''Bagaimanapun kita tidak seharusnya melihat perkara ini daripada sudut yang negatif dengan mengandaikan pelajar akan mengambil kesempatan untuk mengambil jumlah mata pelajaran yang minimum untuk 'bersenang-senang'.

''Saya yakin tidak ramai pelajar yang akan berbuat demikian terutamanya pelajar pintar,'' katanya ketika dihubungi di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Beliau mengulas cadangan baru Kementerian Pendidikan yang mahu memperkenalkan sistem terbuka peperiksaan itu dalam konteks perkembangan UPM secara menyeluruh.

Di bawah sistem terbuka itu, sistem pangkat satu, dua dan tiga akan dihapuskan dan pelajar hanya menerima slip yang terpapar keputusan kertas yang mereka duduki semasa SPM.

Pelajar lemah boleh mengambil hanya tiga atau empat kertas sementara pintar boleh menduduki sehingga 14 kertas, kata Najib, semasa mengumumkan sistem itu baru-baru ini.

Rancangan terbaru Kementerian Pendidikan itu dikaji pelaksanaannya kerana didapati sistem lama tidak sesuai lagi ekoran kemasukan ke universiti lebih menumpukan kelompok mata pelajaran yang sesuai.

Sabtu lalu, Pengarah Lembaga Peperiksaan, Mohd. Nordin Awang Mat, berkata pelajar hanya perlu lulus Bahasa Melayu sebagai syarat pemberian sijil.

Dr. Syed Jalaluddin berkata, langkah Kementerian Pendidikan mengubah sistem pemberian agregat kepada sistem sijil terbuka pada 2001 mencerminkan ketinggian amalan pendemokrasian pendidikan yang diperjuangkan selama ini.

Malah katanya, jika sistem sijil terbuka hendak diamalkan bersungguh-sungguh, pelajar yang lemah boleh menduduki peperiksaan dua atau tiga kali untuk melengkapkan sijilnya.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai sesuatu yang patut dilakukan lebih awal lagi.

Dr. Syed Jalaluddin memberitahu, dalam konteks di UPM, sehingga kini universiti itu memang tidak mementingkan hierarki pangkat.

Sebaliknya ia lebih kepada pencapaian lima mata pelajaran terbaik di samping kelulusan dalam mata pelajaran utama seperti Bahasa Melayu dan Inggeris serta bersesuaian dengan kursus yang dipohon.

''Kadang kala pemberian pangkat memberi kesan negatif kepada pelajar. Jika mereka tidak mendapat pangkat yang baik, mereka bukan sahaja tidak diterima untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi, tetapi jika mahu membaiki keputusan, mereka perlu menduduki semula semua kertas,'' ujarnya.

Bagaimanapun menurut Dr. Syed Jalaluddin, jika peperiksaan sijil terbuka benar-benar hendak dilaksanakan mengikut konsep sebenar, pelajar boleh dibenarkan untuk menduduki mana-mana kertas peperiksaan yang mereka suka sahaja.

''Ini boleh menaikkan semangat pelajar,'' katanya.

Oleh: ZALINA YAHAYA

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4KFFohn4S © Utusan Melayu (M) Bhd

Sistem sijil terbuka SPM disambut baik

ARKIB : 08/08/1998
KUALA LUMPUR 7 Ogos - Tokoh akademik, kesatuan guru dan persatuan ibu bapa menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan sistem sijil terbuka Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mereka menyifatkan langkah itu wajar dan bijak kerana memberi lebih peluang yang lebih luas kepada pelajar dalam merancang masa depan.

Malah, mereka juga bersetuju dengan pandangan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan sistem agregat yang diamalkan pada masa kini tidak lagi relevan dengan perkembangan pendidikan negara.

Tokoh akademik, Tan Sri Dr. Awang Had Salleh berkata, pelaksanaan sistem itu akan memberi lebih banyak peluang kepada pelajar memilih pelajaran yang diminati.

''Pelajar boleh menentukan masa depan mereka dan menilai kemampuan diri mereka,'' katanya ketika mengulas kenyataan Menteri Pendidikan semalam yang mahu memperkenalkan sistem sijil terbuka SPM menggantikan sistem pemberian agregat dalam tempoh dua tahun lagi.

Dr. Awang Had memberitahu, sudah tiba masanya beberapa reformasi dalam bidang pendidikan dibuat dalam usaha menjadikan sistem pendidikan di negara ini lebih fleksibel dan tidak membebankan pelajar.

Kenyataan beliau turut disokong oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Murad Mohd. Noor yang berpendapat cadangan itu dapat membantu mengatasi masalah bebanan kurikulum di kalangan pelajar yang kurang cemerlang.

''Tidak dinafikan sistem yang ada sekarang terlalu ketat dan ini boleh menyekat peluang seseorang pelajar itu untuk mempelajari lebih banyak mata pelajaran.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-guru Sarawak, William Ghani Bina pula menyifatkan cadangan tersebut sebagai bersesuaian dengan sistem pendidikan negara dalam menghadapi alaf akan datang.

Menurutnya, sistem terbuka itu telah dipraktikkan secara meluas di negara-negara Barat dan ia diterima sebagai satu sistem yang berkesan untuk melahirkan pelajar yang berkualiti.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_07.htm#ixzz4KElxdlDQ © Utusan Melayu (M) Bhd