Sabtu, 9 Julai 2016

Keputusan STPM 1997 meningkat

ARKIB : 20/03/1998
Keputusan STPM 1997 meningkat
KUALA TERENGGANU 19 Mac - Sebanyak 37,540 daripada 46,798 calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu, lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dengan Gred E dan layak menerima sijil.

Daripada jumlah calon yang lulus itu, sebanyak 9,910 calon atau 24 peratus lulus penuh lima mata pelajaran, 7,599 (18.4 peratus) lulus penuh empat mata pelajaran dan 7,309 (17.7 peratus) lulus penuh tiga mata pelajaran.

Sebanyak 6,822 calon lagi atau 16.5 peratus lulus penuh dua mata pelajaran dan 5,903 (14.3 peratus) lulus penuh satu mata pelajaran.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan keputusan STPM 1997 di sini berkata, keputusan tersebut pada keseluruhannya telah meningkat terutama dari segi kualiti.

Beliau berkata, bilangan calon yang mendapat Gred A dalam kelima-lima mata pelajaran juga meningkat sebanyak 5.9 peratus iaitu sebanyak 197 orang pada tahun 1997 berbanding 186 orang dalam peperiksaan tahun 1996.

Menurutnya, peratusan lulus penuh maksimum lima mata pelajaran yang boleh diambil oleh seseorang calon telah naik hampir 1.0 peratus.

''Peratusan lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran telah bertambah sebanyak 1.2 peratus dan ini menunjukkan pencapaian calon tahun 1997 telah meningkat,'' katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 1997 di hadapan para pelajar dan guru Sekolah Menengah Padang Midin di dewan sekolah berkenaan, di sini hari ini.

Jumlah calon yang menduduki peperiksaan itu tahun lalu bagaimanapun berkurangan sebanyak 20.1 peratus berbanding pada tahun 1996, sebanyak 58,599 orang.

Daripada jumlah calon STPM 1997, sebanyak 19,847 (42.4 peratus) adalah calon sekolah kerajaan, 26,951 (57.6 peratus) calon persendirian yang terdiri daripada 7,949 (17 peratus) calon sekolah swasta dan 19,002 (40.6 peratus) calon persendirian perseorangan.

Najib juga mengumumkan Ee Mong Tieng, 20, pelajar dari Sekolah Menengah Padang Midin di sini, sebagai calon terbaik keseluruhan dan merupakan pelajar tunggal di Terengganu yang mendapat keputusan 5A.

Di samping itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Melaka diumumkan sebagai sekolah yang paling ramai pelajarnya mendapat keputusan 5A iaitu sebanyak 17 orang.

Ini diikuti Sekolah Menengah Chung Ling, Pulau Pinang dengan tujuh orang calon, Sekolah Menengah Perempuan St. George, Pulau Pinang (7 orang), Sekolah Menengah Chong Hwa, Gombak (6 orang) dan Sekolah Menengah Methodist (ACS), Ipoh (6 orang).

Manakala negeri Pulau Pinang dengan 32 calon dan Perak (32 calon) diumumkan sebagai negeri paling banyak calon memperolehi keputusan 5A.

Negeri Selangor pula, calon yang mendapat keputusan 5A ialah sebanyak 26 orang, Wilayah Persekutuan (22 orang), Melaka (21 orang), Johor (19) dan Kedah (13).

Menurut Najib, prestasi keseluruhan calon STPM 1997 telah mempamerkan peningkatan di dalam 13 mata pelajaran.

Beliau berkata, mata pelajaran Geografi yang menggunakan sukatan pelajaran baru adalah mata pelajaran aliran sastera yang mencatat kenaikan peratusan paling besar iaitu naik 15.3 peratus.

''Mata pelajaran utama lain yang mencatat kenaikan peratusan tinggi ialah Perakaunan dan Pengajian Am yang masing-masing naik sebanyak 5.2 peratus dan 4.4 peratus,'' jelas beliau lagi.

Di samping itu kata Najib, semua mata pelajaran sains juga mencatatkan kenaikan peratusan iaitu Biologi naik 3.1 peratus, Kimia (1.8 peratus) dan Fizik (0.7 peratus).

Bagaimanapun kata beliau, terdapat tujuh mata pelajaran yang turun prestasi antaranya Kesusasteraan Melayu yang turun sebanyak 4.2 peratus, Matematik Lanjutan Tambahan turun 3.8 peratus, Bahasa Melayu (3 peratus), Lukisan (2.7 peratus) dan Sejarah (1.3 peratus).

Mengulas mengenai penurunan ini pada sidang akhbar kemudiannya, Najib berkata, ia merupakan perkara biasa dan tidak ada faktor khusus yang menyebabkan berlakunya penurunan tersebut.

''Ia sesuatu yang realistik dan menunjukkan bahawa Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) benar-benar mengkaji dari segi mutu dan standard peperiksaan tersebut.

''Kalau semua mata pelajaran meningkat, ia sesuatu yang luar biasa,'' katanya.

Mengenai prestasi sekolah kerajaan, Najib berkata, pencapaian calon menunjukkan peningkatan dalam 15 mata pelajaran.

Beliau berkata, selain mata pelajaran Geografi yang meningkat prestasinya sebanyak 18.6 peratus, peningkatan juga pada Bahasa Cina (8.3 peratus), Perakaunan (6.4 peratus) dan Pengajian Am (3.4 peratus).

Menurutnya, semua mata pelajaran sains juga mencatat kenaikan peratusan lulus penuh yang memberangsangkan iaitu Biologi (4.2 peratus), Kimia (2.2 peratus) dan Fizik (1.4 peratus).

Bagaimanapun kata Najib, lima mata pelajaran turun prestasinya iaitu Bahasa Melayu, Matematik Lanjutan Tambahan dan Lukisan.

Ekoran penurunan itu katanya, MPM telah pun memulakan pengemaskinian mata pelajaran yang terbabit.

Menurutnya, hasil daripada kajian yang dibuat, didapati mata pelajaran yang telah dikemas kini sukatan pelajaran dan format kertas soalannya, berjaya mempertingkatkan prestasi pelajar dalam peperiksaan.

''Adalah menjadi harapan saya agar pengemaskinian ketiga-tiga sukatan pelajaran iaitu Sejarah, Kesusasteraan Melayu dan Bahasa Melayu akan memberi kesan positif ke atas prestasi mata-mata pelajaran STPM pada masa akan datang,'' katanya.

Oleh: AMIR SARIFUDIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4DyrYs58c © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan