ARKIB : 19/03/2013
Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my
KUANTAN 18 Mac - Pahang berjaya
mengatasi pencapaian peringkat nasional dalam keputusan Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 yang diumumkan hari ini apabila mencatat
kelulusan penuh sebanyak 96.51 peratus berbanding 94.44 peratus di peringkat nasional.
Timbalan Pengarah Pelajaran
negeri, Rosdi Ismail berkata, sebanyak 2,435 calon daripada 2,523 yang
menduduki peperiksaan mendapat kelulusan penuh dengan sekurang-kurangnya satu
mata pelajaran lulus penuh.
"Peratus kelulusan ini
menunjukkan peningkatan sebanyak 2.69 peratus berbanding pencapaian sebanyak
93.82 peratus pada tahun lalu.
"Malah, jumlah calon yang
memperoleh kelayakan minimum untuk memohon ke institut pengajian tinggi awam
(IPTA) juga meningkat iaitu seramai 1,862 orang," katanya kepada pemberita
di sini.
Menurut Rosdi, Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Cenderawasih di sini muncul sebagai sekolah terbaik negeri ini
apabila mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.17 dengan calonnya
mendapat kelulusan penuh 100 peratus.
"Manakala, terdapat tiga
sekolah mengekalkan prestasi kelulusan penuh 100 peratus selama tiga tahun
berturut-turut iaitu SMK Padang Saujana, Jerantut; SMK Tersang, Raub dan SMK
Seri Rompin, Kuala Rompin.
"Daripada 49 sekolah yang
mendaftarkan calon untuk STPM, sebanyak 20 sekolah mencapai prestasi kelulusan
penuh 100 peratus iaitu meningkat berbanding 13 sekolah pada tahun lalu,"
jelasnya.
Katanya, dua calon iaitu Che
liyana 'Izzati Che Razali dari SMK Jengka 2, Bandar Tun Razak Jengka, Maran dan
Mohamad Shamsul Amin Md. Yusof dari SMK Agama Pahang, Muadzam Shah, Rompin
dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2012 Peringkat
Kebangsaan.
"Kedua-dua mereka
menunjukkan kecemerlangan apabila mendapat A dalam semua mata pelajaran yang
diambil," ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130319/wp_02/STPM-Pahang-atasi-nasional#ixzz4DPwpzsxa
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan