Jumaat, 8 Julai 2016

SEJARAH PENGETUA SMKJ2 ANTARA TAHUN 1973-2015

OLEH- AHMAD BIN YAAKOB.
BANGUNAN BLOK B SIAP DIBINA  TAHUN 1973

Nama Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2 memang tidak dapat dipisahkan dari sejarah pendidikan peringkat menengah di Felda Jengka Tiga Segi. Ia merupakan sebuah sekolah menengah pertama di Wilayah Jengka. Ini menyebabkan ramai anak-anak peneroka dari Felda Jengka 2, Jengka 3, Jengka 4, Jengka 5, Jengka 6, Jengka 7, Jengka 1, Jengka 10, Felda Ulu Jempol menuntut di SMK Jengka 2. Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2 dibuka secara rasmi pada 1.1.1973.[1]

Sekolah ini telah melahirkan tokoh kepimpinan Felda, wakil rakyat, tokoh pendidik dan para doktor perubatan seperti Doktor Muhammad Ali Hanafiah yang berasal dari Felda Ulu Jempol.[2] Sekolah ini juga turut melahirkan seorang doktor yang merupakan anak jati Felda Jengka 2 iaitu iaitu Doktor Zuriyati Ramli yang bertugas di Poliklinik Jengka.[3]Menurut Muhammad Zain Mat pelajar perintis Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2, ketika itu sekolah ini hanya mempunyai empat orang guru dan 87 orang pelajar dan mempunyai seorang guru lelaki iaitu Mohd Yusuf Ismail.[4] Pengetua pertama SMK Jengka 2 ialah Tuan Haji Ibrahim bin Mohammad. Beliau menjadi Guru Besar antara tahun 1973 hingga tahun 1979.[5]

1.PENGETUA PERTAMA HAJI IBRAHIM BIN MOHAMAD 1973-1979.
Tuan Haji Ibrahim Mohamad mula menjawat jawatan sebagai Guru Besar Sekolah Menengah Jengka 2 pada 1 Januari 1973. Beliau memulakan kerjaya sebagai Guru Kaka, iaitu jawatan guru ketika itu dikenali sebagai Guru Kaka.Padabulan Januari 1949 beliau terpilih mengikuti kursus di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak. Beliau berjaya menamatkan pengajian pada tahun 1951.

      Setelah tamat pengajian di MPSI, Tuan Haji Ibrahim Mohamad telah ditugaskan mengajar di Sekolah Melayu Gintong. Sekolah ini merupakan tempat beliau menuntut ketika sekolah rendah  dahulu  dan beliau bertugas di sini selama 9 tahun. Sistem pembelajaran ketika itu membolehkan pelajar Darjah 6 belajar beberapa tahun sehinga lulus periksa.Pelajar yang mendapat sijil pertama akan menjagi Guru Kaka.Pada tahun 1961 beliau dilantik menjadi Guru Besar di Sekolah Kenamgsaan Perian, Pulau Tawar. Sekolah ini merupakan sebuah sekolah rakyat yang telah diambil-alih oleh kerajaan.[6]
      Pada tahun 1964 beliau ditukarkan ke Sekolah LKTP Sungai Tekam. Pada bulan Januari 1970 beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Cebong, Tembeling. Kemudian pada tahun 1972 beliau ditukarkan ke Sekolah Menengah Tembeling menjadi guru biasa yang mengajar subjek Bahasa Melayu dan Ilmu Alam. Pada bulan Disember 1972 beliau mendapat arahan dari Pejabat Pelajaran Negeri untuk menjadi Guru Besar di SMK Jengka 2. Apabila tiba di Jengka 2 beliau mendapati SMK Jengka 2 masih lagi dalam pembinaan. Jadi beliau diarahkan untuk membuka kelas sementara di Sekolah Kebangsaan Jengka 2. Guru Besar SK Jengka 2, Encik Ahmad Osman telah menyediakan dua kelas untuk SMK Jengka 2. SMK Jengka 2 ketika itu mempunyai 87 orang pelajar.Manakala tiga orang guru yang bertugas ketika itu ialah Mohd Yusuf Ismail, Aisyah binti Haji Poya dan Jamaliah binti Ahmad, isteri Pengurus Felda Jengka 14.[7]

Pada bulan September 1973, bangunan SMK Jengka 2 siap dibina. Pada tahun 1974 pelajar SMK Jengka 2 semakin bertambah kerana pelajar sekolah rendah dari Jengka 1 mula masuk ke SMK Jengka 2 kerana cadangan pembinaan SMK Jengka 1 dibatalkan walaupun tapak bangunannya telah disediakan bersebelahan SK Jengka 1. Pembatalan ini berpunca dari jarak Felda 1 dengan Felda lain agak jauh.[8] Selain dari itu pelajar sekolah rendah dari Felda Jengka 2, 3, 4, 5,6,7 Felda Ulu Jempol, Felda Jengka 9, Jengka 10, Jengka 11 dan Jengka 12 turut bertumpu ke SMK Jengka 2.

     Ketika itu ramai anak-anak peneroka yang menghadapi masalah pengangkutan untuk ke SMK Jengka 2. Pada masa itu bangunan asrama belum ada.Jadi sebahagian kelas yang kosong di Blok A telah dijadikan asrama. Pada tahun 1975 peperiksaan SRP pertama telah diadakan di sekolah ini. Keputusan SRP SMK Jengka 2 ketika itu ialah 76%. Belajar yang berjaya ke Tingkatan 4 aliran Sastera masih menuntut di SMK Jengka 2. Menurut Muhamad Zain Mat ramai juga anak-anak peneroka yang melanjutkan pelajaran ke Kuantan. Beliau pula telah menyambung persekolah di tingkat empat di Melaka.[9]

      Menurut Tuan Haji Ibrahim, pada tahun 1975 bangunan asrama SMK Jengka 2 mula dibina. Pada tahun 1976 bangunan Asrama SMK Jengka 2 siap dibina dan jumlah pelajar SMK Jengka 2 semakin bertambah. Pada tahun 1977 pelajar SMK Jengka 2 mula mengampil Peperiksaan SPM pertama. Ketika itu tiada seorang pelajar yang mendapat pangkat 1. Tetapi pada tahun 1978 dua orang pelajar mendapat pangkat pertama.[10]Pada tahun 1979 bilangan pelajar SMK Jengka 2 meningkat kepada 1500 orang dan penghuni asrama meningkat kepada 200 orang. Doktor Muhammad Ali Hanafiah merupakan salah seorang penghuni Asrama Lelaki SMK Jengka 2 ketika itu.[11]Tuan Haji Ibrahim tamat bertugas di SMK Jengka 2 pada 31 Disember 1979 apabila ditukarkan ke SMK Padang Piol.




[1] Sejarah Sekolah, Jaya 2006,33
[2] Temu ramah dengan Doktor Ali Hanafiah pada 2 September  2014.
[3] Temu ramah dengan Doktor Zuriyati Ramli pada 18 Februari 2015.
[4] Temu ramah  dengan Muhammad Zain Mat, pada 7 Februari, 2014.
[5] ibid
[6] Wawancara, Jaya 87, 30.
[7] Ibid,31.
[8] Temu ramah dengan Enci Azlan Ahmad, GPK HEM SK Jengka 1 pada 20 Februari 2015.
[9]Temu ramah  dengan Muhammad Zain Mat, pada 7 Februari, 2014.
[10]Wawancara, Jaya 87, 31.
[11]Temu ramah dengan Doktor Ali Hanafiah pada 2 September  2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan