Sabtu, 9 Julai 2016

Kualiti keputusan STPM meningkat

ARKIB : 23/03/2000
KUALA LUMPUR 22 Mac - Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini menunjukkan peningkatan kualiti dan bilangan calon yang mendapat lima A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Tan Sri Dr. Syed Jalaluddin Syed Salim ketika mengumumkan keputusan itu berkata, sebanyak 225 calon mendapat 5A berbanding 206 orang pada tahun sebelumnya

Bagaimanapun katanya, keputusan STPM 1999 menyaksikan penurunan prestasi sepuluh mata pelajaran berbanding lapan mata pelajaran pada 1998.

Menurut beliau, dua mata pelajaran yang mengalami kejatuhan yang agak tinggi ialah Fizik yang turun sebanyak 9.91 peratus diikuti Geografi (5.79 peratus).

Lapan mata pelajaran lain bagaimanapun menunjukkan penurunan yang tidak begitu ketara.

''Kita akan minta pihak MPM membuat analisis dan penelitian mengenai penurunan prestasi mata pelajaran ini, sama ada ia satu penurunan biasa atau ada sebab lain yang belum dapat dipastikan.

''Kadang-kadang peratus penurunan tidak memberikan gambaran yang sebenar,'' katanya dalam sidang akhbar di MPM, Gombak, dekat sini hari ini.

Mata pelajaran lain yang menunjukkan penurunan ialah Kesusasteraan Inggeris yang turun 3.92 peratus, Perkomputeran (3.78 peratus), Bahasa Arab (2.29 peratus) dan Ekonomi (2.10 peratus).

Empat lagi mata pelajaran lain ialah Kimia (1.76 peratus), Matematik T (1.48 peratus), Matematik Lanjutan T (0.84 peratus) dan Bahasa Tamil (0.10 peratus).

Secara keseluruhannya, kata Dr. Syed Jalaluddin, sebanyak 35,796 calon (91.18 peratus) daripada 43,331 calon lulus sekurang-kurangnya satu prinsipal.

Daripada jumlah itu sebanyak 11,528 (29.37 peratus) lulus lima prinsipal, 7,260 (18.49 peratus) lulus empat prinsipal.

Sebanyak 6,280 (16 peratus) lulus tiga prinsipal, 5,479 (13.96 peratus) lulus dua prinsipal dan selebihnya 5,249 (13.37 peratus) lulus satu prinsipal.

''Ini bermakna sebanyak 30,547 (77.82 peratus) calon layak memohon untuk memasuki universiti,'' katanya.

Menurut beliau lagi, daripada 11 mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu menunjukkan kenaikan peratusan tertinggi iaitu 4.18 peratus, diikuti Biologi (3.12 peratus) dan Bahasa Melayu serta Sejarah masing-masing naik 2.9 peratus dan 1.38 peratus.

Prestasi dua mata pelajaran yang mula diperkenalkan kepada pelajar Tingkatan Enam Rendah pada 1998 juga menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan, katanya.

Menurut beliau, bagi mata pelajaran Pengajian Perniagaan dan Bahasa Inggeris, masing-masing 66.16 peratus dan 59.36 peratus calon lulus peringkat prinsipal.

Dr. Syed Jalaluddin seterusnya memaklumkan mengenai prestasi ujian Malaysian University English Test (MUET)' yang juga menunjukkan prestasi yang membanggakan, walaupun pelajar menduduki peperiksaan ini atas inisiatif mereka sendiri.

''Ini kerana pelajar hanya diwajibkan mengambil ujian ini mulai tahun ini bagi kemasukan universiti tahun 2001,'' katanya.

Menurut beliau, daripada 12,949 calon MUET, 55 peratus pelajar diletakkan di bawah kategori sederhana dan berkebolehan dalam bahasa Inggeris, dan sembilan peratus pelajar diletakkan di bawah kategori baik dan sangat baik.

Sementara itu, dua pelajar iaitu Kam Sheue Keng dan Wong Teck Huat, masing-masing dari Sekolah Menengah Methodist, Ipoh, Perak dan Sekolah Menengah Bantuan Methodist, Sibu, Sarawak diumumkan pelajar paling cemerlang.

Kedua-dua mereka yang mendapat 5A dengan gred satu dalam semua kertas yang diambil, menerima sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional bernilai RM1,000 daripada Dr. Syed Jalaluddin dalam satu majlis ringkas selepas persidangan akhbar pengumuman keputusan STPM itu.

Sekolah Menengah Sam Tet, Ipoh, Perak mengekalkan rekodnya tahun lepas sebagai sekolah yang paling ramai pelajarnya memperoleh 5A iaitu seramai 12 orang.

Sekolah-sekolah lain yang turut cemerlang ialah Sekolah Tinggi Melaka, Melaka dan Sekolah Menengah Jit Sin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, masing-masing 11 pelajar mendapat 5A dan Sekolah Menengah Keat Hwa, Alor Setar, Kedah (10 orang).

Pada tahun 1999, sebanyak 43,331 calon mendaftar untuk mengambil STPM berbanding hanya 42,660 calon pada 1998 iaitu pertambahan 1.57 peratus.

Daripada jumlah itu, sebanyak 26,169 (60.39 peratus) adalah calon sekolah kerajaan, 6,410 (14.79 peratus) calon sekolah swasta dan 10,752 (24.82 peratus) calon persendirian.

Oleh: ZALINA YAHAYA
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4DywJHU7U © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan