ARKIB : 13/08/1998
Ini kerana universiti itu
menetapkan lima kertas terbaik SPM untuk mengikuti sebarang kursus yang
dipohon.
Di bawah sistem terbuka itu,
seperti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak
baru-baru ini, pelajar boleh mengambil tiga atau empat kertas sahaja.
Naib Canselor UPM, Tan Sri
Prof. Dr. Syed Jalaluddin Syed Salim, berkata dalam konteks UPM, universiti itu
selama ini memang menekankan lima kertas terbaik SPM, bukannya berdasarkan
pangkat satu, dua atau tiga.
''Bagaimanapun kita tidak
seharusnya melihat perkara ini daripada sudut yang negatif dengan mengandaikan
pelajar akan mengambil kesempatan untuk mengambil jumlah mata pelajaran yang
minimum untuk 'bersenang-senang'.
''Saya yakin tidak ramai
pelajar yang akan berbuat demikian terutamanya pelajar pintar,'' katanya ketika
dihubungi di Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Beliau mengulas cadangan baru
Kementerian Pendidikan yang mahu memperkenalkan sistem terbuka peperiksaan itu
dalam konteks perkembangan UPM secara menyeluruh.
Di bawah sistem terbuka itu,
sistem pangkat satu, dua dan tiga akan dihapuskan dan pelajar hanya menerima
slip yang terpapar keputusan kertas yang mereka duduki semasa SPM.
Pelajar lemah boleh mengambil
hanya tiga atau empat kertas sementara pintar boleh menduduki sehingga 14
kertas, kata Najib, semasa mengumumkan sistem itu baru-baru ini.
Rancangan terbaru Kementerian
Pendidikan itu dikaji pelaksanaannya kerana didapati sistem lama tidak sesuai
lagi ekoran kemasukan ke universiti lebih menumpukan kelompok mata pelajaran
yang sesuai.
Sabtu lalu, Pengarah Lembaga
Peperiksaan, Mohd. Nordin Awang Mat, berkata pelajar hanya perlu lulus Bahasa
Melayu sebagai syarat pemberian sijil.
Dr. Syed Jalaluddin berkata,
langkah Kementerian Pendidikan mengubah sistem pemberian agregat kepada sistem
sijil terbuka pada 2001 mencerminkan ketinggian amalan pendemokrasian
pendidikan yang diperjuangkan selama ini.
Malah katanya, jika sistem
sijil terbuka hendak diamalkan bersungguh-sungguh, pelajar yang lemah boleh
menduduki peperiksaan dua atau tiga kali untuk melengkapkan sijilnya.
Beliau menyifatkan langkah itu
sebagai sesuatu yang patut dilakukan lebih awal lagi.
Dr. Syed Jalaluddin
memberitahu, dalam konteks di UPM, sehingga kini universiti itu memang tidak
mementingkan hierarki pangkat.
Sebaliknya ia lebih kepada
pencapaian lima mata pelajaran terbaik di samping kelulusan dalam mata
pelajaran utama seperti Bahasa Melayu dan Inggeris serta bersesuaian dengan
kursus yang dipohon.
''Kadang kala pemberian pangkat
memberi kesan negatif kepada pelajar. Jika mereka tidak mendapat pangkat yang
baik, mereka bukan sahaja tidak diterima untuk meneruskan pengajian di
peringkat tinggi, tetapi jika mahu membaiki keputusan, mereka perlu menduduki
semula semua kertas,'' ujarnya.
Bagaimanapun menurut Dr. Syed
Jalaluddin, jika peperiksaan sijil terbuka benar-benar hendak dilaksanakan
mengikut konsep sebenar, pelajar boleh dibenarkan untuk menduduki mana-mana
kertas peperiksaan yang mereka suka sahaja.
''Ini boleh menaikkan semangat
pelajar,'' katanya.
Oleh: ZALINA YAHAYA
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4KFFohn4S
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan