Nor Khalilah Gusti Hassan
6 Oktober 2017
Kenal pasti potensi diri anak
Shahaniza berkongsi tip dan
ilmu secara lebih dekat kepada pelajar SMK Felda Jengka 2, kelmarin.
JENGKA - Ibu bapa disarankan tidak
terus memarahi anak yang mendapat keputusan teruk, sebaliknya memberi galakan
untuk lebih berusaha pada peperiksaan akan datang.
Exco Pembangunan Wanita dan
Keluarga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, ibu
bapa juga perlu memahami anak-anak selain membantu mengenali potensi mereka.
“Bila anak mengadu keputusan
peperiksaan teruk, ibu bapa janganlah terus marah tapi beri mereka galakan
supaya terus berusaha. Kita perlu sentiasa menasihati mereka.
“Perkara ini perlu ditangani
dengan cara yang lebih berhemah agar
anak terus mendapat galakan untuk berusaha dan percaya kita (ibu bapa) sentiasa di sisi untuk terus
meningkatkan pencapaian diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika
berkongsi tip kekeluargaan pada Majlis Program Motivasi Ibu bapa dan Pelajar
Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Jengka 2, di sini kelmarin.
Menurutnya, sikap sentiasa
memarahi anak-anak yang kurang cemerlang dalam peperiksaan tidak membantu
meningkatkan potensi mereka malah boleh melemahkan semangat anak-anak.
“Sebagai ibu bapa kita juga
kena memahami anak-anak bahkan perlu bantu mengenali potensi yang ada dalam
diri mereka. Sentiasa berkomunikasi
dengan anak-anak kerana cara itu mampu memberikan impak positif dalam
peningkatan pembelajaran mereka.
“Apabila mereka kenal diri dan
ada target dalam pembelajaran Insya-ALLAH mereka mudah memilih jalan untuk maju
di masa hadapan,” katanya.
Dalam program tersebut, Adun
Kuala Sentul itu turut berkongsi pengalaman beliau sebagai ibu, isteri, wakil
rakyat dan ahli Exco sebagai motivasi kepada pelajar supaya tidak menjadikan
kesibukan alasan untuk terus maju.
Shahaniza berkata, para pelajar
juga dinasihatkan untuk tidak selalu membandingkan diri dengan orang lain
kerana sikap sedemikian hanya akan melemahkan diri .
“Jadikan kebolehan dan kejayaan
orang lain sebagai cabaran untuk kita lebih berdaya saing. Remaja tidak boleh
lari dari konflik kerana pada usia ini mereka tercari-cari identiti dan
keistimewaan diri.
“Saya mahu anak-anak kenal diri
dan cari keyakinan diri. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Mesti tahu ke
mana hala tuju anda,” katanya.
Sementara itu, Guru Penolong
Kanan Pentadbiran SMK Jengka 2, Mohd Abdul Razif Abdul Razak berkata, pihak
sekolah sentiasa optimis menjalankan pelbagai aktiviti untuk memaksimumkan
usaha membantu pelajar menghadapi peperiksaan.
“Kita menjalankan program
sehari satu subjek. Hari ini (kelmarin)
selepas tamat majlis para pelajar akan ikuti bengkel mata pelajaran selepas
waktu sekolah.
“Cabaran pihak sekolah
sebenarnya adalah kehadiran pelajar ke sekolah. Saya ambil peluang ini berpesan
kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak ke sekolah sebagai persediaan
sebelum periksa,” katanya
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 6
Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan