Sabtu, 9 Julai 2016

Calon berjaya dalam STPM meningkat

ARKIB : 23/03/1999

GOMBAK 22 Mac - Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 1998 yang diumumkan hari ini menunjukkan peningkatan dari segi kualiti dan bilangan calon yang berjaya memperoleh gred A dalam kelima-lima mata pelajaran.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan keputusan STPM berkata, seramai 35,670 calon atau 91.22 peratus daripada 42,660 calon lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Katanya, seramai 206 pelajar telah mendapat Gred A dalam kelima-lima mata pelajaran berbanding 197 calon yang berjaya berbuat demikian dalam peperiksaan STPM tahun 1997.

''Jumlah calon yang mendapat Gred A dalam kelima-lima mata pelajaran bertambah sebanyak sembilan calon dan ia menunjukkan pencapaian calon tahun ini telah meningkat dari segi kualiti.

''Peningkatan tahun ini adalah terdiri daripada kedua-dua aliran sains dan sastera,'' katanya pada sidang akhbar khas bagi mengumumkan keputusan peperiksaan STPM di bangunan Majlis Peperiksaan, di sini, hari ini.

Setiausaha Agung Majlis Peperiksaan Termuzi Abd. Aziz turut hadir pada sidang akhbar yang julung-julung kali diadakan di bangunan tersebut.

Menurut Najib, seramai 10,936 atau 27.97 peratus mendapat kelulusan penuh dalam lima mata pelajaran, 7,333 calon (18.75 peratus) lulus penuh empat mata pelajaran dan 6,370 (16.29 peratus) lulus penuh tiga mata pelajaran.

Katanya, sebanyak 5,844 (14.95 peratus) pula lulus penuh dua mata pelajaran dan 5,187 (13.27 peratus) lulus penuh satu mata pelajaran.

Beliau berkata, Perak merupakan negeri yang paling ramai calon berjaya memperolehi 5A iaitu 60 orang diikuti oleh Pulau Pinang (33), Melaka (28), Johor (18), Negeri Sembilan (16), Sarawak (12), Selangor dan Kedah masing-masing 11, Wilayah Persekutuan (10), Sabah (5) dan Pahang (2).

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet, Ipoh pula diberi pengiktirafan sebagai sekolah terbaik dengan 28 pelajarnya mendapat 5A.

Sekolah-sekolah lain ialah Sekolah Tinggi Melaka (16), Sekolah Menengah Kit Sin, Bukit Mertajam (11), Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah, Seremban (8) dan Sekolah Menengah Methodist (ACS), Ipoh (8).

Pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Hua Lian, Taiping, Khoo Boon Seng yang mendapat Gred 1 dalam 12 kertas bagi setiap mata pelajaran yang diambil menjadi pelajar terbaik STPM 1998.

Seramai 42,660 calon telah mendaftar untuk mengambil peperiksaan STPM berbanding 46,798 calon pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, seramai 23,893 (56.01 peratus) adalah calon sekolah kerajaan dan 18,767 (43.99 peratus) adalah calon persendirian yang terdiri daripada 6,497 calon (15.23 peratus) sekolah swasta dan 12,270 calon (28.76 peratus) persendirian.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4DytwKceA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan