irwansha@nstp.com.my
PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
(STPM) 2017 menunjukkan peningkatan dengan catatan Purata Nilai Gred
Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat kepada 2.76 berbanding 2.71 pada 2016.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Seri
Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan
PNGK nasional yang memberangsangkan dalam semua kriteria pengukuran pencapaian
berbanding STPM 2016.
PROF Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak (kiri) bersama
Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Mohd Fauzi Mohd Kassim
ketika majlis pengumuman keputusan peperiksaan STPM Tahun 2017 di Putrajaya. -
Foto Mohd Fadli Hamzah
Beliau berkata, peningkatan itu mengatasi semua
pencapaian sejak STPM modular diperkenalkan pada 2013.
Katanya, peningkatan itu membabitkan PNGK Nasional, PNGK
3.50 ke atas, PNGK 3.00 ke atas, PNGK 2.75 ke atas, PNGK 2.50 ke atas, PNGK
2.00 ke atas, peningkatan peratus lulus penuh pada lima dan empat mata
pelajaran serta peratus lulus penuh dalam sekurang-kurangnya satu mata
pelajaran dengan gred C ke atas.
"Bilangan calon memperoleh PNGK 3.50 ke atas
bertambah kepada 6,408 orang iaitu 14.89 peratus berbanding 6,137 calon (14.20
peratus) pada 2016.
"Peratusan calon mendapat PNGK 3.00 ke atas juga
meningkat kepada 40.48 peratus (17,423 calon) pada 2017 berbanding 37.62
peratus (16,263 calon) pada 2016.
"Bagaimanapun, peratusan calon mendapat PNGK 4.00
sedikit menurun iaitu kepada 1.13 peratus atau 485 calon berbanding 1.31
peratus (565 calon) pada 2016.
"Namun, saya menjangka peluang lepasan STPM 2017
untuk diterima masuk ke universiti awam adalah lebih besar kerana peningkatan
dan bilangan calon mendapat PNGK 2.75 ke atas adalah tinggi iaitu 55.19 peratus
berbanding 51.83 peratus pada 2016," katanya ketika mengumumkan keputusan
STPM 2017 di sini, hari ini.
Beliau berkata, bilangan dan peratusan calon mendapat 5A
dan 4A menurun kepada 521 calon (1.21 peratus) pada 2017 berbanding 575 calon
(1.33 peratus) pada 2016.
"Bagaimanapun, peratusan calon mendapat lulus penuh
dalam lima dan empat mata pelajaran meningkat kepada 72.02 peratus berbanding
71.88 peratus pada 2016.
"Peningkatan ini juga memberi gambaran bahawa
pencapaian calon Tingkatan Enam di sekolah kerajaan kini semakin baik,
dipercayai hasil pelaksanaan inisiatif Pemerkasaan Tingkatan Enam yang giat
diusahakan Kementerian Pendidikan," katanya.
Mohamed Mustafa berkata, secara keseluruhan, semua 22
mata pelajaran ditawarkan dalam STPM 2017 mencatatkan peratusan lulus penuh
melebihi 70 peratus, iaitu gred C dan ke atas.
"Sebagai menghargai pencapaian cemerlang sekolah
yang mempunyai Gred Purata Sekolah (GPS) tertinggi, MPM memberikan sijil
penghargaan kepada 10 sekolah kerajaan terbaik pada STPM 2017," katanya.
10 Sekolah Terbaik STPM 2017
1. Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor
2. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima
Raja, Pasir Mas, Kelantan
3. SMK Hua Lian, Taiping, Perak
4. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Mohd
Said, Seremban, Negeri Sembilan
5. SMK Sacred Heart, Sibu, Sarawak
6. SMK Padang Saujana, Jerantut, Pahang
7. SMK Kangkong, Pasir Mas, Kelantan
8. SMA Maarif, Besut, Terengganu
9. SMK Sultan Ibrahim (2), Pasir Mas, Kelantan
10. SMK Tengku Mahkota, Muar, Johor

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 6 March 2018 |
11:42am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan